Tuesday 4 March 2014



  Husnu Dzon  
     
  (Sangka baik)

 dan

    Su’u Dzon 

   (Sangka buruk)



Berbaik sangka dalam berukhwah
“Dari Abu Hurairah berkata: Bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Aku peringatkan kamu dari prasangka sesungguhnya prasangka itu adalah bisikan yang paling bohong.  Dan janganlah kamu mencari-cari rahsia (kelemahan, ke’aiban dan keburukan saudaranya), janganlah merasa-rasakan (yang bukan-bukan), janganlah kamu melakukan pertengkaran, jangan berhasad (dengki), jangan berbenci-bencian, janganlah membelakangkan (saudaramu seagama).  Dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara”. [HR Bukhari]
Alhamdulillah, hidup di bumi Cork sangat permai dan harmoni. Ketika masih baru menjejakkan kaki ke sana, terasa diri sebagai pelajar baru umpama selebriti. Ada sahaja jemputan dari para seniors untuk pergi makan di rumah mereka hampir setiap hari. Namun lama kelamaan, ada juga terdetik, untuk apa mereka bersusah payah sebegini? Tunjuk baik? Populariti? Apa sebabnya?
Kalaulah ketika itu erti ukhwah difahami…
Sesungguhnya bersangka baik dan berlapang dada itu adalah selemah-lemah ukhuwah. Tahap ukhuwah paling tinggi adalah itsar, iaitu mendahulukan dan mengutamakan kepentingan dan keperluan orang lain dari diri sendiri, sedang diri sendiri juga dalam keadaan yang sangat memerlukan.
Apabila seseorang itu bersangka buruk terhadapat saudaranya, ia sangat berkait rapat dengan sifat cemburu dan hasad dengki. Lihat sahaja bagaimana hasad dengki yang berpunca dari buruk sangka boleh menyebabkan putusnya silaturrahim sesama manusia. Akibat cemburu dengan kejayaan orang lain, apa jenis kehancuran pun sanggup dilakukan. Ada yang bergaduh, menghantar santau, dan ada yang sampai kepada tahap membunuh! Naudzubillahi min zaalik…


Su’u Dzon VS Waspada
Namun tidak dinafikan, ada situasi di mana kita perlu untuk bersangka buruk demi keselamatan diri. Ia juga dinamakan sebagai hati-hati, waspada, atau ‘hazar’. Sebagai contoh, apabila seseorang itu terdengar benda yang pelik di rumahnya ketika waktu malam, adalah perlu baginya untuk bersangka yang kemungkinan rumahnya dimasuki pencuri. Dari perasaan waspada inilah, langkah seterusnya dapat diambil bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini dari berlaku. Jika tidak timbul lansung perasaan untuk berwaspada, kesannya bukan sahaja boleh membawa padah kepada individu itu sendiri, malah kepada orang yang berada di sekitarnya.
Buruk sangka (Su’u Dzon) bererti berprasangka buruk kepada saudara kita tanpa adanya bukti yang jelas dan masuk akal. Buruk sangka merupakan salah satu pintu syaitan yang harus kita jauhi. Allah SWT berfirman,
“Dan jauhilah kebanyakan dari prasangka kerana sebagian prasangka itu adalah dosa”[Al-Hujurat : 12].
Adapun waspada tidak bersifat definitif (tidak cenderung mengatributkan sesuatu yang buruk kepada seseorang tertentu) serta disertai dengan bukti-bukti dan indikasi-indikasi yang mendukung.


Husnu Dzon
Hidup kita tidak lekang dari disangka buruk dan menyangka buruk. Jika diri terlibat, kunci menanganinya adalah beristighfar dan taubat. Nabi s.a.w bersabda:
“Setiap anak Adam itu ada kesilapan ( dosa) dan orang berdosa yang terbaik adalah mereka yang bertaubat” [HR At-Tirmidzi]
Berikut dikongsikan bersama tips dari Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani untuk sentiasa bersangka baik sesama insan:
Jika engkau bertemu dengan seseorang, maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu.
Ucapkan dalam hatimu :
“Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku”.
Jika bertemu anak kecil, maka ucapkanlah (dalam hatimu) :
“Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepadaNya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku”..
Jika bertemu orang tua, maka ucapkanlah (dalam hatimu):
“Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku.”
Jika bertemu dengan seorang yang berilmu, maka ucapkanlah (dalam hatimu):
“Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku.”
Jika bertemu dengan seorang yang bodoh, maka katakanlah (dalam hatimu) :
“Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia bodoh (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui akibatnya.
Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik dariku.”
Jika bertemu dengan orang kafir, maka katakanlah (dalam hatimu) :
“Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin di akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh. Dan mungkin boleh jadi di akhir usia diriku kufur dan berbuat buruk.
Bersangka baik terhadap Allah
Dalam hidup ini Allah sentiasa menguji kita. Ujian Allah pelbagai dan orang yang diuji Allah juga pelbagai. Ada yang diuji Allah dengan musibah seperti kematian orang disayangi, kebakaran, kemalangan, kehilangan, bencana alam dan yang selalu diuji Allah kepada kita ialah dengan mendatangkan sakit. Tidak seorang pun daripada kita yang hidup di dunia ini terlepas daripada menerima ujian Allah. Yang membezakannya hanya bentuk ujian itu. Ada yang ringan dan ada yang berat ujiannya.
Harus kita ingat bahawa Allah memberikan hidayah dan taufik kepada setiap hamba-Nya dengan jalan yang berbeza-beza. Salah satunya dengan mendatangkan musibah sakit kepada hamba-Nya.
Kita hendaklah sentiasa bersangka baik dengan Allah terutama ketika kita ditimpa musibah sakit atau musibah lain. Ujian sakit yang diberikan-Nya itu tanda kasih sayang-Nya dari Khalik kepada makhluk-Nya. Allah selalu mencintai hamba-Nya yang sabar, ikhlas dan reda. Dan sebagai hamba-Nya yang beriman, kita hendaklah selalu memuji Allah yang tak pernah putus-putus memberi rahmat kepada kita hatta ketika kita sakit.
Sehubungan itu, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya, besarnya pahala sesuai dengan besarnya cubaan. Sesungguhnya, jika Allah mencintai suatu kaum, maka Dia akan menguji mereka. Barang siapa yang reda dengan musibah itu maka baginya keredaan Allah. Dan barang siapa yang marah (tidak reda) dengan musibah berkenaan, maka baginya kemurkaan Allah.” [HR Tirmidzi]
Sabda Rasulullah lagi yang maksudnya: “Setiap sesuatu itu mempunyai hakikat dan tidaklah seorang hamba mencapai hakikat iman sehingga dia menyedari musibah yang menimpanya bukan untuk menyalahkannya dan kesalahan yang dilakukannya bukan sebab untuk ditimpakan musibah kepadanya.”

Kesimpulan
Jauhilah sangka buruk yang sebahagiannya membawa dosa. Mulakan dengan sangka baik di kalangan umat Islam selaras dengan arahan Allah.
Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: “Ini adalah suatu berita bohong yang nyata.” [ An-Nur : 12 ]
Banyakkanlah bersangka baik. Sebenarnya masih ada ramai orang baik yang berbuat baik hanya kerana agenda akhirat semata-mata. Janganlah dirasakan dunia ini sudah tiada yang ikhlas kerana Allah. Mulakan dengan diri sendiri lalu anda akan mampu mencari orang sepertinya.
Wallahua’lam

(Rujukan Daripada Laman  Sesawang)

No comments:

Post a Comment